Tuesday, January 22, 2013

Jauhi Dari Sifat Sombong dan Bongkak

Sombong, bongkak, angkuh dan takabur atau kibir mempunyai pengertian yang sama. Iaitu salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (sifat tercela/terkeji). Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga. Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat zarah dari perasaan takabur atau sombong."

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hambaKu, mereka akan masuk Jahanam sebagai makhluk yang hina dina."(Almukmim:60)

Sifat sombong atau takabur ini boleh di bagikan kepada dua, iaitu, takabur lahir dan takabur batin.

Takabur lahir dapat dilihat melalui perbuatan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah (pangkat, kealiman, darjat keturunan) daripadanya. Ketakburan itu adakalanya dapat dilihat melalui perbicaraan, seperti tidak mahu mengalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar dan mengikut nasihat.

Imam Al Ghazali berkata ;

"Orang yang takabur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar."

Orang yang sombong atau takabur ini mudah menghina orang lain dan akan marah jika ada yang mengatasinya ia akan dengki apabila orang lain mendapat nikmat dan akan berdendam dengan orang yang menandinginya.

Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takabur atau sombong ini.

a.      Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.

b.      Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.

c.       Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.

d.      Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita, kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.

e.      Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, jangan lah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya dia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.

f.        Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.

Lawan daripada sifat sombong ialah sifat tawadhuk atau rendah diri. Sekiranya seseorang telah berjaya mengikis sifat sombongnya akan datanglah sifat tawadhuk padanya, sifat terpuji yang disukai Allah dan makhluk seluruhnya.

Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah;

"Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan diri, Allah mengangkatnya dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai yang di bumi ke tujuh."

Urwah bin Azzubair berkata; " Tawadhuk ialah alat untuk mencapai kemuliaan. Lantaran itu Rasulullah, para Nabi, para sahabat , para aulia' dan orang-orang soleh suka merendahkan diri dan memiliki sifat tawadhuk. Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Aku diberi kunci kekayaan bumi, lalu disuruh pilih di antara menjadi hamba dan Nabi atau menjadi Nabi dan Raja, maka Jibril memberi isyarat kepadaku supaya bertawadhuk dan menjadi Nabi dan hamba, maka saya pilih Nabi dan hamba, maka diberikan kepadaku itu dan aku pertama manusia yang keluar dari bumi kelak dan aku yang pertama memberi syafaat kelak."

Tegasnya untuk menghilangkan sifat sombong dan takabbur kita perlulah bermujahadah bersungguh-sungguh. Buat sesuatu yang menyebabkan kita dipandang rendah. Datangkan rasa rendah diri dan berlaku tawadhuk. Sesungguhnya tidak hina orang yang merendah diri. Allah telah memuji hambaNya yang tawadhuk dan akan mengangkat darjat mereka.

http://www.navy.mil.my/mawilla1/index.php/agama/item/77-jauhi-dari-sifat-sombong-dan-bongkak

No comments:

Post a Comment