Friday, December 7, 2012

Kekuatan Doa Saad Bin Abi Waqqas

Semua orang tahu sahabat Nabi SAW yang bernama Saad bin Abi Waqqas ni. Kewarakkan dalam agama Islam memang tidak dinafikan lagi. Beliau merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang mempunyai kelebihan di mana doanya semua Allah makbulkan. Kenapa boleh jadi begitu? Apakah amalan Saad bin Abi Waqqas sehingga dapat penghormatan sebegitu? Mari kita selami rahsia doa Saad bin Abi Waqqas dimakbulkan dalam artikel di bawah. Semoga kita semua dapat pelajari dan mencontohi akhlak sahabat Nabi SAW ni.

Saad bin Abi Waqqas berkata, ‘Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya.’ Lalu Rasulullah s.a.w. menasihati Saad dengan sabdanya,

‘Hai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doanya. Demi Muhammad di dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang hamba memasukkan yang haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amalnya selama empat puluh hari. Mana-mana hamba yang darah dagingnya tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih layak baginya.‘ Riwayat At Tabarani – (Matan Arbain)

Dalam banyak riwayat dinyatakan bahawa para sahabat mendapati Saad bin Waqqas adalah termasuk di kalangan orang-orang yang dimakbulkan doanya. Saad bin Waqqas sendiri menyatakan dengan tegas,

“Bahawa aku tidak pernah mengangkat ke mulutku sesuatu makanan, melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana pula keluarnya.” Difahami dari hadith dan peristiwa ini, bahawa doa yang diperkenankan adalah doa orang yang memakan makanan halal.

Orang yang beriman dikehendaki supaya jiwanya bersih dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih, dari makanan halal.

Suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang kusut masai rambutnya, berdebu wajahnya kerana lama dan jauh perjalanannya. Dia mengangkat tangan berdoa Allah dengan katanya, ‘Wahai tuhanku, wahai tuhanku!’

Keadaannya nampak bersungguh-sungguh memohon kepada Allah. Tetapi malang nasibnya kerana doanya tidak dimakbulkan. Baginda Rasulullah SAW menjelaskan, ‘Makannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram, disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah boleh dimakbulkan doanya.’(Riwayat Muslim).

Mafhum dari hadith ini, makanan halal adalah syarat penting termakbulnya doa. Sebaliknya pula, memakan makanan yang haram menyebabkan doa tidak dimakbulkan.

Sumber: http://murabbiy.wordpress.com/?s=saad

Kubur Berkata-Kata Sewaktu Pengkebumian Jenazah Saidatina Fatimah Az- Zahra

Di kisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara:

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az- Zahra, anak Rasulullah S.A.W."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk- buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari seksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya:
1. Hendaklah dia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, dia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah:
1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan seksa kubur itu berpunca dari kencing."

Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam seksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah saja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."

Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak melakukan amal soleh sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al- Quran itu akan membela dan membantunya. Begitu juga dengan amalan-amalan soleh yang lain.

Sumber: http://perihalagamaislam.blogspot.com/2011/10/kubur-berkata-sewaktu-jenazah-fatimah.html

Wahai Lelaki! Pergilah Solat Berjemaah

Solat berjemaah adalah amalan yang teramat penting dan utama di dalam Islam. Ramai di kalangan kita yang mengerjakan solat tetapi tidak mengambil berat tentang solat berjemaah. Sebagaimana Rasulullah SAW memberi penekanan yang tegas terhadap solat, begitu juga Rasullah SAW sangat-sangat memberi penekanan tentang solat dengan berjemaah.

Berdasarkan Hadis Rasulullah SAW:

"Barangisapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solat berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangya uzur yang dibenarkan syarak) daripada menyertai solat berjemaah maka solat yang dikerjakannya itu tidak akan diterima"
(Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Sabda Baginda SAW lagi:

"Sesungguhnya aku benar-benar berhasrat untuk menyuruh anak-anak muda mengumpul kayu api untukku, kemudian aku ingin membakar rumah mereka yang solat di rumah tanpa sebarang keuzuran"
(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Sabda Baginda SAW lagi:

“Sungguh-sungguh zalim, kufur dan nifaq mereka yang mendengar penyeru Allah SWT yakni muazin yang menyeru kepada solah tetapi mereka tidak pergi menyertai solat berjemaah”
(Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani)

-Allah sangat gembira apabila melihat hamba-hambaNya di dalam saf solat berjemaah.

-Allah MEMURKAI sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak pergi berjemaah di masjid.

-Pahala bagi solat berjemaah sebenarnya bermula ketika keluar menuju masjid hingga selesai solat. Seterusnya ganjaran itu berlanjutan sehingga kita tiba di rumah semula.

-Allah SWT menjadi saksi mereka yang sentiasa memakmurkan masjid adalah golongan memiliki keimanan (Sahih Tafsir Ibn Kathir )

-Para sahabat Nabi SAW amat menjaga solat berjemaah, sekiranya mereka tertinggal takbir pertama bersama Imam mereka akan bersedih selama 3 hari dan sekiranya mereka tertinggal solat berjemaah mereka akan bersedih selama 7 hari.

-Nabi SAW pun amat menjaga solat berjemaah, baginda tetap pergi solat berjemaah walaupun semasa baginda hampir wafat dan sangat susah untuk berjalan. Baginda SAW dipapah oleh 2 orang sahabat untuk ke masjid dan Saidina Abu Bakar mengimami solat atas desakan baginda SAW yang tidak mampu untuk menjadi IMAM.
"Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah SWT ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan sifat sedemikian) maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” (Al-Taubah ayat ke-18)

Lihatlah betapa besar ganjaran Allah bagi sesiapa yang pergi menunaikan jemaah di masjid tetapi ada lagi yang masih tidak mengambil peluang dengan ganjaran tersebut. Mereka itu adalah golongan yang benar-benar rugi dan akan menyesal di akhirat.